Saturday, March 30, 2013

Bahasa Slanga Remaja

Ulasan Bahasa Slanga Remaja (Cabaran memartabatkan Bahasa Melayu) oleh Umi Sakinah Binti Mat Jamian (207616)


Bahasa slanga atau lebih dikenali bahasa dialek sesuatu daerah atau bahasa rojak atau bahasa pasar yang digunakan sebahagian besar golongan remaja masa kini dalam perbualan seharian. Golongan dewasa serta warga emas juga terkadang terbiasa dengan budaya penggunaan bahasa slanga. Kebanyakan remaja yang menggunakan bahasa slanga berasa seronok dapat berbual dengan rakan- rakan mereka dengan cara begitu. Mereka merasakan penggunakan bahasa slanga mampu membuat pendengar lebih memahami akan isi yang ingin disampaikan tanpa perlu menggunakan ayat- ayat baku, ayat- ayat yang terus dan kurang menarik. Ini menguatkan lagi faktor penggunaan bahasa slanga hanya digunakan oleh masyarakat yang tidak sukakan bahasa baku ataupun sastera.

Bahasa slanga yang menjadi kebiasaan dalam pertuturan boleh meluputkan bahasa baku atau bahasa- bahasa indah yang lain. Sangat sukar untuk menemui masyarakat atau individu yang menggunakan bahasa baku era ini. Bahasa slanga yang tercipta kadang- kala berasal dari negara luar seperti Indonesia, Bangladesh dan Myanmar. Contohnya, pacaran. Walaubagaimanapun, bahasa slanga yang digunakan kadang- kala sukar untuk diterjemahkan kerana ada yang mencipta bahasa mengikut selera individu itu sendiri. Contohnya gomen iaitu kerajaan. Bahasa slanga juga kadang- kala kedengaran sedikit biadab.

Di bawah merupakan antara contoh- contoh yang digunakan bukan sahaja remaja bahkan juga golongan emas.








Saturday, March 23, 2013

Dulu, Kini dan Selamanya



“Umi Sakinah Binti Mat Jamian!!”. Laung emak setiap kali aku membuat salah. Ya. Nama indah itu diberikan khas buat diriku yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan. Bermusafir ke dunia ini bersama- sama 5 orang adik beradik yang lain. Aku merupakan anak kelima daripada enam orang adik beradik yang mana hanya aku dan kakak sahaja bunga di dalam keluarga Jamian tidak terkecuali emak. Kenangan sepuluh tahun lalu masih menari- nari di kotak ingatan di mana ketika itu aku sudah berumur 12 tahun tetapi masih bersaiz kecil seperti kanak- kanak tadika. Akibat badan bersaiz kecil itu, aku masih duduk di raga motosikal ayah setiap kali ayah menghantar aku ke sekolah. Sering kali jugalah ayah akan melontarkan kata- kata hikmatnya yang kukira sangat comel. “Ringannya anak ayah ni. Macam angkat kertas A4 je’. Dan kini, aku, Umi Sakinah, sudah berumur 22 tahun dan pastinya aku sudah tidak seringan kertas A4 lagi.
            Beberapa bulan selepas mendapat keputusan peperiksaan Sijil Peperiksaan Menengah, aku mendapat dua tawaran menyambung pelajaran. Satu di UiTM Lendu Melaka dan satu lagi jauh nun di hujung utara iaitu Kolej Matrikulasi Arau, Perlis. Ayah lebih menyokong jika aku memilih untuk menyambung pelajaran ke UiTM Lendu kerana jarak di antara Melaka dan Seremban tidak jauh jika dibandingkan dengan Seremban dan Perlis. Manakal abangku yang sulung pula mengeluarkan segala fakta dan mungkin juga auta tentang segala kelebihan menuntut ilmu di Matrikulasi berbanding diploma. Memang itu kelemahan aku, tidak mampu membuat keputusan sendiri. Jadi, dua insan inilah yang berdebat dengan hujah masing-masing dan kata sepakat memutuskan untuk melepaskan aku ke utara untuk menadah secebis ilmu Allah yang luas.
            Sepanjang aku menuntut di bumi Perlis, pernah sekali aku mengikuti lawatan ke ‘Karnival Jom Masuk U’ yang dianjurkan di sebuah dewan di Jitra. Setelah selesai sesi di dewan itu, kami dibawa melawat ke Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dikendalikan oleh pelajar- pelajar UUM sendiri. Ketika menghampiri pintu gerbang utama UUM, lalu, saat itulah pertama kali aku berasa teruja sekali kerana tidak menyangka universiti yang tidak pernah menjengah kotak ingin tahuku ini rupa- rupanya sangat indah. Sebuah gedung ilmu yang sangat luas, dipenuhi kehijauan walaupun terdapat pelbagai bangunan. Aku dan rakan-rakanku sudah seperti rusa masuk kampung.  Dan sejak itu, aku menyimpan angan- angan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya di situ.
            Kini, aku bergelar pelajar UUM semester 6 di tahun 3. Masih terbayang- baying di memori betapa susahnya ayah memandu kereta dari selatan ke utara, betapa berpeluhnya emak untuk menyediakan masakan paling enak ketika itu, betapa gembiranya abang membelikan baju serta peralatan baru buatku dan betapa gembiranya kakak mengemas segala keperluan ke dalam beg. Dan aku, masih menahan sebak di dada kerana runsing memikirkan betapa jauhnya jarak aku dan keluarga selepas ini. Mungkin 3 bulan sekali baru bersua atau mungkin 6 bulan sekali. Walaupun aku sudah biasa berjauhan dengan keluarga tetapi tidak pernah aku berjauhan dengan mereka dalam jangka masa yang lama iaitu 4 tahun tempoh pembelajaran. Pastinya perasaan hiba menguasai ruang lingkup hati ini. Sepanjang mula berdaftar sehingga akhir sesi pendaftaran, aku mencuba sedaya upaya, supaya tidak menangis kerana tidak mahu emak dan ayah risau. Ya. Aku anak manja dan punya sedikit ego. Biarlah ego sekarang. Biar aku menangis bersama- sama emak dan ayah ketika majlis graduasiku nanti.
            Aku teramat bersyukur kerana mempunyai ayah yang berjiwa kental tetapi sangat penyayang dan sangat mengambil berat. Menjadi kebiasaan sepanjang 3 tahun ini, sebelum membeli tiket bas pulang ke bumi Sintok, aku diwajibkan oleh ayah untuk memaklumkan kepadanya. Kebimbangan ayah terhadap anak gadisnya ini melebihi segalanya. Ayah sanggup menghantarku pulang ke Sintok dengan memandu sendiri bukan dengan membiarkanku menaiki bas. Sungguh! Sungguh aku terharu. Tidak mampuku bayangkan. Seorang ayah yang berumur 65 tahun, masih gagah memanjat bumbung rumah orang, memanjat tangga bagi mencari sesuap nasi untuk keluarga. Masih kuat memandu kereta secara manual dari selatan ke utara semata- mata untuk memastikan anak gadisnya ini sampai ke bilik asrama dengan selamat. Fitrah seorang bapa, bukti cinta mereka tidak perlu dilihat pada manisnya ayat memuji tetapi pada kegigihan perbuatan serta perilaku mereka. Kerana itu, heroku dari dulu hingga kini cuma ayah! Hanya ayah. Kerap juga ayah menghantarku pulang ke Sintok dengan alasan takut bas yang aku naiki terus ke sempadan Thailad. Terima kasih Allah atas nikmat pinjamanMu yang tidak terhingga ini. Terima kasih ayah. Kakak sayang ayah sangat-sangat.
            Alhamdulillah, hanya tinggal beberapa semester sahaja lagi untuk aku menamatkan pengajianku di bumi Sintok ini. Di saat warna rambut ayah berubah menjadi putih dan kaki emak yang tidak lagi kuat untuk melangkah jauh, aku hanya mampu mendoakan supaya Allah panjangkan umur mereka, sihatkan fizikal dan juga mental mereka, melapangkan dada mereka serta meringankan beban mereka supaya mereka boleh hadir ke majlis konvokesyen aku nanti, melihat aku memegang skrol hasil jerih- perih mereka dengan linangan airmata kegembiraan. 



Adat dan Budaya Masyarakat Sikh



Sikhisme atau lebih dikenali sebagai agama sikh adalah sebuah agama monoteistik yang diasaskan mengikut ajaran Guru Nanak dan Sembilan orang guru lain di Punjab, India pada abad ke- 15. Agama Sikhisme adalah agama kelima terbesar di dunia iaitu dengan lebih daripada 23 juta penganut. Sikhisme berasal daripada perkataan sikh yang dating daripada kata dasar śiṣya dalam bahasa Sanskrit, yang bermakna ‘murid’ atau ‘pelajar’ atau śikṣa yang bermaksud ‘arahan’.   



1.    Pakaian

Pakaian bagi masyarakat Sikh ialah serban bagi kaum lelaki dan Punjab bagi kaum wanita. Pemakaian serban juga ada beberapa jenis ikatan dan menggunakan pelbagai warna. Kain serban yang sangat panjang diperlukan dalam mengikat serban kerana perlu melingkari seluruh kepala. Jadi, amat sukar bagi mereka yang tidak mahir menggunakannya.
Wanita pula kelihatan ayu dengan selendang di kepala dan baju Punjabi labuh dengan seluar mengikut bentuk kaki. Corak latar yang digunakan pada pakaian mereka juga tidak keterlaluan dengan warna terang menambahkan lagi kecantikan wanita Sikh yang terkenal dengan hidungnya yang mancung. Pakaian Punjabi juga digunakan khas untuk majlis perkahwinan tetapi dengan corak yang lebih menarik iaitu dipenuhi sulaman manik dan benang emas. Itulah antara kelebihan orang Punjabi kerana kemahiran unik mereka yang terkenal dalam aktiviti menyulam kain dan sulaman mereka yang berkualiti tinggi.




2.    Kepercayaan

Kepercayaan utama orang Sikh ialah keyakinan dalam WAHEGURU iaitu Tuhan Universal yang digambarkan menggunakan symbol suci ēk ōaṅkār. Sikhisme menggalakkan meditasi yang berdisiplin di bawah nama dan mesej Tuhan untuk memperoleh keselamatan. Agama ini juga menggambarkan Tuhan melalui konsep yang tidak mengandungi antropomofisme (pemberian sifat manusia kepada dewa- dewa).

  3.    Hari- hari Keagamaan.

Agama Sikh bukan sahaja berbangsa Punjabi malah sesiapa yang mampu membaca dan memahami isi kandungan Sri Guru Granth Sahib dan mengikuti kod amalan Sikh boleh menganut agama ini. Upacara masuk agama ini dipanggil Amrit Sanchaar yang bermula dengan lima khalsa memohon supaya seseorang itu dimasukkan ke dalam persatuan atau ‘brotherhood’ khalsa. Selepas itu, mereka yang ingin memasuki agama ini harus minum air ‘Amrit’ iaitu sejenis air madu yang digaul dengan Kirpan. Semasa digaul,kelima- lima khalsa ini akan membaca lima Banis yang suci iaitu Jap Sahib, Japji Sahib, Tay Prasaad Seveiye, Benti Chaupai dan Anand Sahib.
Air ini samalah seperti air baptisme dalam agama Kristian. Pertamanya, air dituang ke telapak tangan kanan dan diminum oleh setiap orang yang masuk agama ini.Kemudian air direnjis sebanyak lima kali pada mata dan kepala mereka. Akhirnya setiap calon minum air ini dari mangkuk yang sama sehingga habis.



4.    Adat dan Resam
  •  Mengandung
Ibu mengandung tidak dibenarkan makan buah yang berkembar kerana dikhuatiri boleh menyebabkan mendapat anak kembar. Mendapat anak kembar bukanlah suatu pantang larang di dalam masyarakat Sikh tetapi kelahiran anak kembar besar kemungkinan akan mendatangkan beban kepada sesetengah keluarga terutamanya keluarga yang susah. 
Ibu mengandung juga tidak dibenarkan memegang objek tajam seperti pisau atau gunting dan tidak boleh memotong apa- apa ketika gerhana matahari. Mengikut kepercayaan mereka, perbuatan tersebut boleh menyebabkan anak lahir dalam keadaan calar- balar di muka dan tidak cantik. 
Selain itu, terdapat juga persamaan adat resam kaum Sikh dengan Melayu iaitu sekiranya isteri mengidam sesuatu, suami perlu cuba untuk mendapatkan sesuatu yang diidam isteri supaya dapat mengelakkan anak yang dilahir terkena tulah (terkenan) seperti meleleh air liurnya. 
Mengikut kepercayaan kaum Sikh, selepas kelahiran sekiranya anak itu tidak berhenti menangis, keluarganya perlu ke tempat uri ditanam dan dipukul tanah itu untuk menghentikan tangisan. Hari lahir pula tidak boleh disambut sebelum tarikh lahirnya, mesti disambut selepas atau pada hari lahirnya kerana ia boleh menyebabkan pendek umur.



  • Kelahiran Bayi
Amalan biasa bagi menyambut kelahiran bayi ialah dengan memberi hadiah. Pemberian nama merupakan upacara penting yang dikenali sebagai Naamkaran. Bayi yang baru lahir akan diberi nama setelah Granthi membaca Ardas. Kemudian kitab mereka Sri Guru Granth Sahib akan dibuka secara rambang dan bayi akan dinamakan mengikut huruf pertama di dalam muka surat tersebut. 
Nama akhir atau nama belakang penganut Sikh adalah sama, berbeza hanya mengikut jantina iaitu Singh bagi lelaki manakal Kaur bagi perempuan. Singh bermaksud ‘Singa’ manakala Kaur memberi maksud ‘Puteri’. Apabila seseorang remaja lelaki mencapai umur sebelas hingga enam belas tahun, satu upacara akan dijalankan iaitu upacara pemakaian serban. Upacara ini dipanggil Dastar Bandhni lazimnya dilakukan oleh para agama Sikh yang dipanggil Granthi atau ketua masyarakat.



  • Perkahwinan
 Penganut Sikh dimestikan berkahwin kerana perkahwinan adalah penyatuan dua roh menjadi satu. Penyatuan ini disamakan dengan penyatuan antara manusia dengan Tuhan iaitu satu matlamat penting dalam kehidupan setiap penganut Sikh. Perkahwinan dalam masyarakat Sikh dimestikan kerana cara hidup berkeluarga atau grihasth asram adalah cara hidup yang paling utama dan semulajadi sifatnya. Bagi orang Sikh, perkahwinan adalah suci dan mereka percaya pada system monogamy iaitu tidak berkahwin lebih dari seorang isteri. 
Dalam agama mereka, penceraian adalah mustahil dan tidak dibenarkan. Namun penceraian masih boleh berlaku di mahkamah sivil. Perkahwinan antara individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan atau endogamy dilarang atau tidak digalakkan. Oleh itu, pemilihan menantu biasanya dibuat oleh ibu bapa masing- masing. 
Mengikut adat perkahwinan kaum Sikh, pihak wanita akan mengeluarkan belanja yang banyak bukan sekadar membayar dowri(hantaran) tetapi juga perlu menyediakan cincin emas bukan sahaja untuk pengantin lelaki bahkan untuk ibubapa pengantin lelaki juga. Menjadi kebiasaan keluarga pengantin perempuan perlu menyediakan set bilik tidur, set sofa dan barang dapur untuk melengkapi rumah pengantin. 
Proses peminangan atau pemilihan jodoh juga bermula dengan pihak perempuan. Tiada istilah ‘perigi mencari timba’ kerana adat dalam masyarakat Sikh adalah perempuan yang meminang lelaki.




5.   Kesenian dan Tarian 


Kaum Sikh mempunyai pelbagai jenis tarian dan permainan muzik selain turut menggemari aktiviti permainan tradisional tetapi kebanyakannya berbentuk menguji kekuatan. Kebanyakan alat muzik yang digunakan dalam masyarakat Sikh secara asasnya seperti muzik Punjabi yang mana ia menggunakan banyak alat ketukan iaitu gendang atau rebana yang dikenali sebagai jorri (tabla).

Waja (piano kecil) dan tabla adalah dua alat muzik terpenting dalam masyarakat ini. Muzik Pujabi berirama rancak dan sarat dengan emosi, menceritakan variasi perasaan seperti kegembiraan, keceriaan, kesakitan dan semangat mendalam. Begitu juga dengan kagunya yang turut mempunyai melodi penuh emosi dan perasaan.
Lazimnya apabila kita melihat tarian dalam filem Hindi, ramai mengaitkannya dengan bhangra dan realitinya itulah ‘Raja Tarian’ dalam masyarakat Sikh kerana sehingga kini ia antara satu daripada tarian yang masih digunakan secara meluas malah sudah ada yang memodenkan gaya tarian dan irama lagunya seperti yang digerakkan kumpulan muzik popular kaum Sikh iaitu Goldkartz.
Bhangra membabitkan ramai penari lelaki dan wanita kebiasaannya melebihi enam orang dengan menggunakan pakaian berlainan warna untuk menaikkan seri dalam rentak tarian itu yang memerlukan tenaga tinggi penarinya kerana pergerakannya yang sangat pantah dan lincah.
Jika orang Melayu terkenal dengan joget lambak ketika majlis perkahwinan, begitu juga masyarakat Sikh yang menjadikan bhangra sebagai tarian bebas yang boleh disertai sesiapa sahaja apatah lagi tarian itu sendiri tidak mengehadkan pergerakan dan penarinya bebas melakukan aksi mengikut alunan dhol iaitu gendang atau rebana.


Kesimpulan.
Kesimpulannya adat resam merupakan lambang atau identiti kepada sesebuah bangsa atau kaum yang mana perlu dipertahankan dari generasi ke generasi yang akan datang.