Saturday, March 23, 2013

Dulu, Kini dan Selamanya



“Umi Sakinah Binti Mat Jamian!!”. Laung emak setiap kali aku membuat salah. Ya. Nama indah itu diberikan khas buat diriku yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan. Bermusafir ke dunia ini bersama- sama 5 orang adik beradik yang lain. Aku merupakan anak kelima daripada enam orang adik beradik yang mana hanya aku dan kakak sahaja bunga di dalam keluarga Jamian tidak terkecuali emak. Kenangan sepuluh tahun lalu masih menari- nari di kotak ingatan di mana ketika itu aku sudah berumur 12 tahun tetapi masih bersaiz kecil seperti kanak- kanak tadika. Akibat badan bersaiz kecil itu, aku masih duduk di raga motosikal ayah setiap kali ayah menghantar aku ke sekolah. Sering kali jugalah ayah akan melontarkan kata- kata hikmatnya yang kukira sangat comel. “Ringannya anak ayah ni. Macam angkat kertas A4 je’. Dan kini, aku, Umi Sakinah, sudah berumur 22 tahun dan pastinya aku sudah tidak seringan kertas A4 lagi.
            Beberapa bulan selepas mendapat keputusan peperiksaan Sijil Peperiksaan Menengah, aku mendapat dua tawaran menyambung pelajaran. Satu di UiTM Lendu Melaka dan satu lagi jauh nun di hujung utara iaitu Kolej Matrikulasi Arau, Perlis. Ayah lebih menyokong jika aku memilih untuk menyambung pelajaran ke UiTM Lendu kerana jarak di antara Melaka dan Seremban tidak jauh jika dibandingkan dengan Seremban dan Perlis. Manakal abangku yang sulung pula mengeluarkan segala fakta dan mungkin juga auta tentang segala kelebihan menuntut ilmu di Matrikulasi berbanding diploma. Memang itu kelemahan aku, tidak mampu membuat keputusan sendiri. Jadi, dua insan inilah yang berdebat dengan hujah masing-masing dan kata sepakat memutuskan untuk melepaskan aku ke utara untuk menadah secebis ilmu Allah yang luas.
            Sepanjang aku menuntut di bumi Perlis, pernah sekali aku mengikuti lawatan ke ‘Karnival Jom Masuk U’ yang dianjurkan di sebuah dewan di Jitra. Setelah selesai sesi di dewan itu, kami dibawa melawat ke Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dikendalikan oleh pelajar- pelajar UUM sendiri. Ketika menghampiri pintu gerbang utama UUM, lalu, saat itulah pertama kali aku berasa teruja sekali kerana tidak menyangka universiti yang tidak pernah menjengah kotak ingin tahuku ini rupa- rupanya sangat indah. Sebuah gedung ilmu yang sangat luas, dipenuhi kehijauan walaupun terdapat pelbagai bangunan. Aku dan rakan-rakanku sudah seperti rusa masuk kampung.  Dan sejak itu, aku menyimpan angan- angan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya di situ.
            Kini, aku bergelar pelajar UUM semester 6 di tahun 3. Masih terbayang- baying di memori betapa susahnya ayah memandu kereta dari selatan ke utara, betapa berpeluhnya emak untuk menyediakan masakan paling enak ketika itu, betapa gembiranya abang membelikan baju serta peralatan baru buatku dan betapa gembiranya kakak mengemas segala keperluan ke dalam beg. Dan aku, masih menahan sebak di dada kerana runsing memikirkan betapa jauhnya jarak aku dan keluarga selepas ini. Mungkin 3 bulan sekali baru bersua atau mungkin 6 bulan sekali. Walaupun aku sudah biasa berjauhan dengan keluarga tetapi tidak pernah aku berjauhan dengan mereka dalam jangka masa yang lama iaitu 4 tahun tempoh pembelajaran. Pastinya perasaan hiba menguasai ruang lingkup hati ini. Sepanjang mula berdaftar sehingga akhir sesi pendaftaran, aku mencuba sedaya upaya, supaya tidak menangis kerana tidak mahu emak dan ayah risau. Ya. Aku anak manja dan punya sedikit ego. Biarlah ego sekarang. Biar aku menangis bersama- sama emak dan ayah ketika majlis graduasiku nanti.
            Aku teramat bersyukur kerana mempunyai ayah yang berjiwa kental tetapi sangat penyayang dan sangat mengambil berat. Menjadi kebiasaan sepanjang 3 tahun ini, sebelum membeli tiket bas pulang ke bumi Sintok, aku diwajibkan oleh ayah untuk memaklumkan kepadanya. Kebimbangan ayah terhadap anak gadisnya ini melebihi segalanya. Ayah sanggup menghantarku pulang ke Sintok dengan memandu sendiri bukan dengan membiarkanku menaiki bas. Sungguh! Sungguh aku terharu. Tidak mampuku bayangkan. Seorang ayah yang berumur 65 tahun, masih gagah memanjat bumbung rumah orang, memanjat tangga bagi mencari sesuap nasi untuk keluarga. Masih kuat memandu kereta secara manual dari selatan ke utara semata- mata untuk memastikan anak gadisnya ini sampai ke bilik asrama dengan selamat. Fitrah seorang bapa, bukti cinta mereka tidak perlu dilihat pada manisnya ayat memuji tetapi pada kegigihan perbuatan serta perilaku mereka. Kerana itu, heroku dari dulu hingga kini cuma ayah! Hanya ayah. Kerap juga ayah menghantarku pulang ke Sintok dengan alasan takut bas yang aku naiki terus ke sempadan Thailad. Terima kasih Allah atas nikmat pinjamanMu yang tidak terhingga ini. Terima kasih ayah. Kakak sayang ayah sangat-sangat.
            Alhamdulillah, hanya tinggal beberapa semester sahaja lagi untuk aku menamatkan pengajianku di bumi Sintok ini. Di saat warna rambut ayah berubah menjadi putih dan kaki emak yang tidak lagi kuat untuk melangkah jauh, aku hanya mampu mendoakan supaya Allah panjangkan umur mereka, sihatkan fizikal dan juga mental mereka, melapangkan dada mereka serta meringankan beban mereka supaya mereka boleh hadir ke majlis konvokesyen aku nanti, melihat aku memegang skrol hasil jerih- perih mereka dengan linangan airmata kegembiraan. 



No comments:

Post a Comment