Monday, May 20, 2013

Cinta

Cinta. 
Hari ini, cinta menjadi sempit. Cinta yang luas disalah erti. Cinta yang suci disalahguna. 
Cinta. Apa yang dimaksudkan dengan cinta? 
Remaja hari ini tidak betah merosakkan diri sendiri dengan 'erti' cinta yang mereka tafsir. Cinta pada mereka haruslah berjumpa bertentangan mata selalu. Cinta pada mereka perlu berpimpin tangan tanda sayang tanda selamat. Cinta pada mereka perlu korbankan segala- galanya hatta ibubapa mahupun Tuhan. Hari ini, 'cinta' telah melahirkan jutaan bayi yang tidak berdosa digelar dengan pelbagai panggilan. 'Anak haram', 'anak luar nikah', adakah bayi- bayi ini layak menerima akibat perbuatan ibubapa mereka sendiri? Nafsu yang kononnya cinta telah mengaburi mata manusia yang asyik dengan nikmat maksiat. Nafsu yangkononnya cinta telah membutakan mata hati manusia sehingga sanggup membunuh satu nyawa yang tidak berdosa, sanggup menyeksa jiwa lain. Cinta itu luas. Cinta itu suci. Allah kurniakan kita perasaan ingin dicintai, disayangi bahkan ingin juga menyalurkan rasa itu kepada orang lain.Apa itu cinta yang sebenar- benarnya?

Cinta. Apa itu cinta?
Cinta itu ialah apabila kita berkasih- sayang hanya semata- mata untuk menggapai keredhaan Ilahi. Itulah cinta sebenar. Apabila erti cinta itu difahami, tiada perlunya berpimpinan tangan, tiada perlunya berkucupan mesra sebelum nikah. Apabila cinta itu difahami, Allah itulah tempat teratas dalam carta cinta.Apabila kita faham erti cinta yang sebenar itu, pastinya kita takut melakukan perkara terlarang. Kerana cinta itu apabila kita ingin bersama- sama dengan orang yang kita cintai ke syurga-Nya. Masakan kita mahu mengheret orang yang kita sayang ke neraka kerana kita tahu seksa neraka itu sangat pedih.

Cinta. Pada siapa harusku salurkan perasaan cinta ini?
Cinta bukan semata- mata kepada suami mahupun isteri. Cinta itu luas, usah disempitkan skop cinta itu. Lahirnya kita disambut oleh bapa. Diazankan buat bayi lelaki dan diiqamatkan buat bayi perempuan. Itu tanda cinta dan kasih- sayang seorang ayah kepada anaknya. Ayah yang cintakan anaknya, dia sehingga sanggup bekerja lebih masa bagi mendapat harta yang lebih semata- mata untuk membeli keperluan secukupnya buat anak tercinta. Ayah yang cintakan anaknya pasti memberikan didikan agama serta ilmu yang baik kepada anaknya. Begitu juga cinta seorang ibu yang sanggup bersabung nyawa untuk melahirkan bayi. Sanggup menahan sakit semata- mata untuk melihat seorang bayi comel lahir ke dunia bagi menyambung warisan keluarga, menyahut sunnah Rasulullah.

Bertahun- tahun menuntut ilmu. Dari tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan seterusnya ke kolej, setiap masa ditemani sahabat, kawan dan rakan- rakan. Kalau di rumah bersama ibubapa, di sekolah pula bersama sahabat. Bercinta dengan sahabat juga merupakan sunnah Rasulullah, di mana Rasulullah sangat mencintai sahabat- sahabat baginda sehingga mereka mendapat tempat istimewa di dalam syurga. Bercinta dengan sahabat kerana sahabat sejatilah yang mengingatkan kita tatkala kita alpa, menegur tika salah dan menangis bersama saat kita ditimpa ujian. Kerana cinta itu matlamatnya ingin ke syurga. Hanya yang ingin berpimpinan tangan ke syurga sahaja mampu membawa kita mengingati Tuhan, membawa kita kepada kebaikan dan mencegah kita daripada kemungkaran. Kerana itulah cinta sejati.

Cinta. Usah kotorkan cinta yang suci itu kerana cinta itu sendiri datangnya daripada Allah. Allah cintakan hamba- hambaNya maka, Dia kurniakan nikmat cinta itu. Allah cintakan kita kerana itu kita diizinNya lahir ke Bumi semata- mata untuk beribadah kepadaNya, menikmati setiap ciptaanNya.  Allah cintakan kita lalu diturunkanNya ujian kerana Dia rindukan rintihan, rayuan dan tangisan kita. Cinta. Apabila kita faham apa itu cinta, pasti kita jaga kesuciannya.






No comments:

Post a Comment